LOS ANGELES: Pihak berkuasa California memaklumkan misi pencarian pelakon asal Britain, Julian Sands yang hilang sejak 13 Januari lalu masih diteruskan.

Memetik laporan Independent, usaha pencarian pelakon berusia 65 tahun ini turut berdepan dengan kesukaran berikutan ribut kencang di lokasi.

Pelakon yang membintangi filem Leaving Las Vegas dilaporkan gagal dikesan selepas melakukan aktiviti mendaki di Baldy Bowl, sebuah kawasan pergunungan San Gabriel, utara Los Angeles.

Dalam pada itu, pihak berkuasa California memaklumkan, misi pencarian Julian Sands akan diteruskan melalui udara sahaja.

Jabatan Syerif Daerah San Bernardino mengemas kini maklumat memaklumkan proses pencarian dilakukan dengan bantuan helikopter di sekitar pergunungan San Gabriel.

Difahamkan, kumpulan Ops Udara Bahagian Lembah Peronda Lebuhraya California dibawa menyertai misi pencarian yang menggunakan peranti mengesan bahan reflektif.

Sementara itu, adik Julian Sands, Nick memberitahu, di sudut hatinya dia sedar Julian sudah meninggal dunia memandangkan proses pencarian kini memasuki minggu kedua. 

Terdahulu, keluarga Sands mendedahkan gambar terakhir Julian yang mendaki gunung sambil memberitahu: "Beginilah beliau suka dilihat, melakukan perkara yang paling dia suka, seorang pendaki gunung yang heroik."